MATA PENA DAN CAHAYA LENSA KAMERA SEBAGAI PENGEMBARA OLEH CIKGU AMBI DALANG
PERJALANAN PERTAMA - Sungai Katibas.
Hari pertama aku berlepas dari Pekan Song ke Stesen bertugas SK. Tan Sri Jugah adalah satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. 13 Mei 2007 iaitu pada waktu pagi, aku diarahkan menunggu Guru Besar SK. Nanga Bangkit iaitu Encik Ajan, di Pondok Rehat bertentangan dengan Kedai Anong. Aku berasa gementar dan rimas semasa menunggu kehadiran cikgu tersebut. Aku menghubungi beliau melalui nombor telefon yang diberikan oleh PPD Song iaitu Cikgu Andrew Kana, yang juga merupakan guru sekolah lamaku sewaktu aku belajar di SM. Selirik dahulu. Setelah berjumpa dengannya aku bertanyakan perahu yang digunakan untuk mudik ke Sungai Katibas dan seterusnya ke Sungai Bangkit. Setelah minum seketika di kedai yang bersebelahan dengan Kedai Anong kami pun mudik. Sepanjang perjalanan itu kami berbual-bual tentang keadaan sungai yang kami lalui. Ada kalanya aku seperti seorang pelancong yang diberikan informasi di sepanjang perjalanan itu. Pada mulanya aku berasa takut dan gementar semasa melintasi tempat-tempat yang berbatu dan aliran yang deras. Kekadang aku pun basah kerana terkena percikan air yang melimpah melalui tepian perahu. |